Pengakuan Seekos Aku

Setiap imej dan hasil penulisan yang terdapat di dalam blog ini adalah hak milik tetap pemilik blog. Ia tidak berkaitan secara langsung mahupun tidak dengan sesiapa yang masih hidup ataupun yang telah tiada lagi (atau dalam proses tiada lagi di dunia). Jika terdapat persamaan maka ia hanyalah sekadar kebetulan semata-mata. Malah pemilik blog juga tidak memperakui sebarang imej atau penulisan yang terlebih dahulu telah diakui bukan dimiliki oleh pemilik blog. Lantas sebarang unsur penggunaan imej dan hasil penulisan tanpa pengesahan pemilik adalah ditegah sama sekali.

Tuesday 6 July 2010

2. Normal

Aku tak pernah mengkelaskan diri aku sebagai CACAT atau KURANG UPAYA tapi aku tak pernah pula mengaku yang aku ni NORMAL. Memang secara zahirnya aku tak ada kurang kaki atau tangan atau secara mentalnya aku sama sahaja seperti orang laen. Walaupun terdapat beberapa kesan PSORIASIS ARTRITIS yang boleh menyebabkan lumpuh, bengkok kaki atau tangan tapi aku bersyukur ke hadratNya kerana aku belum lagi terpilih untuk ke tahap itu.

Teringat 1 novel ni bertajuk 'Stone from The River' oleh URSELA HEGI menceritakan tentang satu watak gadis yang dilahirkan kerdil. Ada satu bab ni buat aku tersentuh bila dia kata orang lebih anggap mereka yang tak ada tangan sebelah jauh lebih normal berbanding dia. Sebab masyarakat sekitar dia sangat-sangat mendiskriminasikan dirinya hanya berdasarkan saiz dia yang berbeza berbanding orang lain.

Walaupun secara zahirnya aku boleh melakukan setiap pekerjaan yang boleh dilakukan oleh semua orang (kecuali pada masa-masa tertentu kaki aku akan meragam. Sama ada ia kembang atau rasa sakit-sakit senggalnya bermula. Maka setiap kerja akan terhentilah.) Cuma keadaan selain itulah aku boleh melakukan semua perkara selagi fizikal aku membenarkan. Tapi sekali lagi stigma masyarakatlah yang paling sukar dikikis.


Antara penyataan yang sering bermain di fikiran pesakit PSORIASIS termasuk aku ialah seperti:

Sewaktu bercakap dengan orang lain atau membentangkan sesuatu dalam kumpulan besar, aku sering terfikir sama ada mereka sedang mendengar setiap apa yang aku perkatakan atau sebaliknya mereka sedang melihat dan berfikir pelik-pelik tentang bintik-bintik merah pada muka dan tangan aku.

Realitinya itulah perkara biasa yang bermain dalam otak aku. Sebab tu kalau korang perasan, aku sangat susah nak menghulurkan salam kepada sesiapa sebab aku takut mereka akan fikir PSORIASIS pada aku ni berjangkit pada mereka (walau berapa banyak kali aku cuba menerangkan bahawa ia tak berjangkit dan selama itu juga mereka tak akan percaya). Bukti paling nyata ialah kali terakhir aku sembahyang di Surau Kampung aku ialah pada tahun 2001. Ketika aku tingkatan 4. Sekitar 10 tahun dah berlaku. Sebabnya semasa aku sembahyang Jumaat tiba-tiba aku perasan tak ada sesiapa di kiri dan kanan aku. Jadi aku tak lagi menjejak kaki ke surau tu (sehingga nenek aku meninggal Februari yang lepas).

Teringat juga pada seorang rumate semasa belajar di Universiti Kebangsaan Malaysia dahulu. Pada awalnya dia memang sedikit sukar untuk menerima aku yang berpenyakit kulit. Sekali lai walau betapa aku cuba menjelaskan bahawa PSORIASIS tak berjangkit tapi ia mengambil masa untuk percaya. Tapi pada suatu tiba-tiba kulitnya datang ruam dan masih jelas teringat bagaimana dia cuba memberitahu bahawa aku mengakibatkan ia terkena ruam tersebut. Hmmmm...

Realitinya bukan salah mereka pun sebab mereka tak tahu tentang PSORIASIS. Dan mungkin juga cara penerangan kita terhadap PSORIASIS bukan dengan cara terbaik terhadap mereka. Malah jika aku berada di situasi mereka, mungkin aku akan berfikir dan bertindak yang sama seperti mereka. Ada kata bijak pandai: Manusia akan takut pada sesuatu yang mereka sendiri tak tahu. Disebabkan mereka tak tahu tentang PSORIASIS jadi mereka takut kepada kulit kita.



Memang air mata aku dah kering sebab zaman awal remaja dulu selalu sangat menanggis mempersoalkan tuhan kerana tak menjadikan aku sama seperti abang-abang dan orang-orang lain. Sebab layanan masyarakat yang terlalu cepat menghukum dan mengadili tanpa kenal siapa kita sebenarnya.Sehingga mengakibatkan aku kehilangan zaman kanak-kanak dan remaja hanya kerananya.


Jadi jika anda punya anak atau adik yang menghidap PSORIASIS, ia normal untuk mereka menanggis tapi jangan biar mereka sentiasa menanggis. Zaman kanak-kanak dan remaja mereka hanya sekali. Cukup sayang jika ia dibiarkan berlaku pergi hanya sebegitu sahaja. Hadapi semuanya bersama. Jangan sembunyikan mereka. Jangan sembunyikan kulit mereka. Biar mereka dan kulit mereka merasakan bersama setiap kehangatan matahari dan kedingginan air sungai.




Kerana mereka juga manusia biasa, punya ruang untuk mengejar mimpi dan impian mereka.
Caridee English: Pemenang American Next Top Model 2006 juga seorang PSORIASIS.

No comments:

Post a Comment